Cinta yang berputik dari alam maya adakah ia bersalut kepuraan atau sejati?
PENGGUNAAN Internet kian meningkat di kalangan penduduk negara ini dengan kebanyakan masyarakat di Malaysia mula mengenali kebaikan yang mampu mengubah kehidupan.
Apatah lagi dengan kemudahan rangkaian jalur lebar yang memudahkan akses kepada Internet rancak dipromosikan, syarikat telekomunikasi menawarkan pakej dengan harga semurah RM49 sebulan.
Di sebalik celik Internet di kalangan warganegara Malaysia, timbul pula persoalan moral yang dibangkitkan seperti buli siber, pencurian data dan sebagainya.
Salah satu agensi kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertanggungjawab mengawasi keselamatan 'online' di negara ini iaitu Cybersecurity Malaysia melaporkan hampir 2,937 insiden online berlaku pada tahun ini .
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt Kol (b) Husin Jazri, mendedahkannya sebagai meningkat 68 peratus berbanding tempoh sama iaitu Januari hingga Oktober pada tahun lalu.
"Ia satu angka yang serius dan mungkin lebih banyak kerana insiden yang kami ada berdasarkan laporan dibuat.
"Cuba bayangkan insiden yang tidak dilaporkan, ia mungkin lebih banyak daripada kaca mata kita," katanya.
Husin berkata, perkataan insiden digunakan organisasinya kerana laporan yang diterima daripada orang awam mungkin boleh dijadikan kes atau tidak bergantung kepada masalah online dihadapi pengguna.
"Masalah keselamatan komputer pada masa kini lebih kompleks, ia bukan lagi berkaitan isu teknikal tapi sudah membabitkan isu moral dihadapi pengguna yang mengakses Internet," katanya.
Malaysia akan bersama dunia pada 30 November ini bagi menyambut Hari Keselamatan Komputer, menunjukkan isu keamanan suasana perkomputeran perlu dititikberatkan dalam usaha memberikan kehidupan bahagia tanpa ancaman siber.
"Kita masih di peringkat awal dalam dunia Internet, namun perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan jenayah siber yang boleh mengakibatkan kehidupan musnah hanya kerana satu klik," katanya.
Menurutnya, jumlah 16.5 juta pengguna komputer peribadi (PC) di negara ini menunjukkan pelbagai transaksi berlaku sama ada perbankan, sosial dan sebagainya yang berupaya mengundang ancaman.
"Malah, aktiviti sosial di laman web seperti Facebook, MySpace dan banyak lagi memungkinkan gejala tidak sihat berlaku sekiranya tidak dikawal dengan baik," kata Husin.
Beliau mendedahkan, laporan terkini menunjukkan pengguna Facebook di negara ini mencecah angka 2,619,040 pengguna dan diletakkan di tangga ke-18 di dunia sebagai negara yang aktif memperbaharui status masing-masing dalam laman web sosial itu.
"Ia angka yang bagus menunjukkan kadar celik teknologi maklumat (IT) di kalangan pengguna, namun pengguna juga perlu celik keselamatan kerana ia penting bagi memelihara identiti," katanya.
Tambahnya,ini berikutan 2,937 insiden yang berlaku sehingga Oktober lalu membabitkan masalah menumpang identiti orang lain, perkhidmatan dinafikan, penipuan dan pemalsuan, terdedah kepada niat jahat, gangguan kandungan tidak senonoh, kod jahat atau 'malicious' dan gangguan sistem.
Malah, tidak terkecuali masalah kegiatan menyamar sebagai individu tertentu dengan tujuan mengaibkan atau mengaut keuntungan yang mula menular mencari mangsa untuk ditipu.
Ketua Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), Adli Abd Wahid, memaklumkan hampir 151 kes membabitkan gangguan di Internet dilaporkan kepada pasukannya.
"Insiden tertinggi dilaporkan pada Februari lalu dengan 23 laporan manakala Julai mencatatkan angka kedua tertinggi iaitu 22 laporan," katanya.
Beliau berkata, setiap insiden boleh disusuli dengan laporan polis memandangkan organisasinya tidak bertanggungjawab sebagai penguat kuasa.
"Gangguan di Internet boleh tergolong dalam kategori 'cyberstalking' atau 'penghendap siber'," kata Adli.
Penghendap siber didefinisikan sebagai penggunaan Internet atau saluran elektronik lain untuk menghendap orang lain dengan tujuan jahat sama ada sebagai individu atau organisasi.
Kelakuan ini termasuk tuduhan palsu, memfitnah, mengancam, mengeksploitasi seks, menyalahguna e-mel orang lain, mencuri identiti dan mengumpul maklumat orang lain yang bertujuan mengganggu individu terbabit.
Adli berkata, terdapat insiden dilaporkan menunjukkan e-mel mangsa diconteng pada dinding tandas yang mengatakan mangsa ingin menawarkan perkhidmatan seks.
"Pada kebiasaannya, pemangsa adalah individu mengenali mangsa seperti bekas teman lelaki atau suami yang mahu membalas dendam," katanya.
Beliau berkata, pasangan kekasih atau suami isteri mengetahui data lengkap pasangan masing-masing dan membalas dendam dengan membocorkan maklumat peribadi sebaik mereka berpisah.
Dalam pada itu, Husin menambah, terdapat mangsa yang berada dalam keadaan trauma apabila identitinya dicuri dan didaftarkan sebagai pengguna palsu di laman web sosial selepas dia memutuskan hubungan.
"Maklumat mangsa didaftarkan ke akaun MySpace dengan menyatakan mangsa berminat untuk menawarkan khidmat seks," katanya.
Tidak beberapa lama dulu, berlaku kes sama yang dihadapi pelakon terkenal tanah air, Haliza Misbun apabila identitinya dimuatkan dalam akaun Facebook.
Nama baik Haliza, 36, tercemar dengan perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar dirinya, sekali gus, 'melayan mesra' peminat pelakon itu yang mendaftar masuk dalam senarai kenalan.
Haliza membuat dua laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada 11 September lalu dan Balai Polis Bukit Indah, Ampang, Selangor (12 September).
Selain itu, pelakon terbabit turut menghantar kedua-dua salinan aduannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya untuk tindakan susulan.
Berdasarkan laporan Harian Metro, Haliza memaklumkan dia malu dan kesal apabila ada individu tidak bertanggungjawab sanggup menipu peminat dengan menyamar sebagai dirinya di Facebook dan dianggap mencemarkan imejnya.
Baru-baru ini, terdapat laporan di San Francisco, Amerika Syarikat yang melaporkan lima pengguna Facebook menyaman rangkaian sosial Internet itu kerana membenarkan anggotanya berkongsi aspek kehidupan dalam laman web.
Tindakan undang-undang yang difailkan di sebuah mahkamah di selatan California menuduh Facebook menjadi 'lombong' data dan tidak menunaikan janji untuk memberikan pengguna kawalan ketat terhadap data yang dimasukkan ke dalam profil.
Saman itu menuntut bayaran ganti rugi, namun Facebook menolak saman itu dengan mendakwa ia tidak berasas.
Antara plaintif ialah seorang wanita yang menyertai Facebook pada fasa awalnya ketika keanggotaannya dihadkan kepada pelajar kolej.
Facebook dituduh mengkhianati wanita itu dengan menjadikan laman berkenaan rangkaian sosial terbuka yang hingga kini dianggotai 250 juta orang di seluruh dunia.
Laman web itu satu bentuk medium sosial media kerana lebih menghubungkan seseorang secara santai yang mungkin bertebaran jauh, merentas benua menerusi platform Internet.
Pengguna boleh meluahkan perasaan atau pandangan menerusinya dan pada masa sama sebagai platform untuk memperkenalkan diri dan menggambarkan identitinya yang sebenar.
Walau bagaimanapun, kita perlu berhati-hati ketika mendedahkan maklumat di laman sembang kerana Facebook dan laman sembang lain juga pernah dikaitkan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) milik Amerika Syarikat satu ketika dulu.
Kebimbangan mengenai keselamatan data mungkin timbul jika ada pengguna Facebook yang menyalahgunakan maklumat atau profil seseorang untuk tujuan tertentu dengan menjual maklumat itu kepada syarikat tertentu kerana dalam banyak keadaan, tidak ada sistem yang dijamin selamat.
Maklumat peribadi yang disimpan dalam laman sosial boleh digunakan sesiapa saja untuk menghantar virus atau spam menerusi e-mel kerana menerusi Internet, seseorang itu boleh menjadi sesiapa saja tanpa perlu menyalurkan maklumat sebenar.
Pengguna sendiri perlu menjadi penapis kepada semua maklumat yang mahu disiarkan.
Kalau dilihat senario semasa, tidak semua pengguna laman sembang mahu mendedahkan identiti sebenar dan lebih selesa menggunakan nama samaran yang bertujuan untuk berseronok semata-mata.
Menyentuh mengenai tindakan jika menjadi mangsa di laman web sosial, Husin berkata, pengguna boleh melaporkan kepada organisasinya kerana agensi terbabit lebih dikenali kerana di bawah pengawasan kerajaan.
"Sekiranya pengguna mengalami insiden akaun diceroboh tanpa kebenaran dan kecurian maklumat, bolehlah merujuk kepada kami menerusi perkhidmatan Cyber999," katanya.
Tambahnya, jika mangsa melaporkan mengenai insiden mereka terus kepada pengurusan laman web sosial, ia mungkin sukar dipercayai namun jika menggunakan khidmat Cyber999 mungkin dapat mengukuhkan laporan terbabit.
Justeru, pengguna perlu bijak memelihara data peribadi agar nasi tidak menjadi bubur pada kemudian hari yang memberi kesan negatif kepada kehidupan.
Sumber;26 November 2009 (Harian Metro)
0 comments:
Post a Comment