Email Palsu Bank Hati-hati ya
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Print screen di atas adalah beberapa email palsu yang pernah admin terima. Jadi berhati-hati lah kita ya sebagai pengguna internet.
Artikel di bawah dari BERNAMA.
ELAK JADI MANGSA BANK PALSU
Kuala Lumpur, 12 Ogos - Jenayah siber seperti kes penipuan menggunakan
identiti sesebuah bank melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS)
boleh dielakkan sekiranya masyarakat lebih berhati-hati dan peka
terhadap teknologi masa kini.
Menurut Penolong Pengurus Besar
Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia Joanne Wong, kes sedemikian berlaku
apabila 'penipu' menghantar kiriman e-mel, SMS dan panggilan telefon
untuk meminta butiran peribadi seperti butiran kad kredit, kata kunci,
Kod Pengesahan Transaksi (TAC) daripada mangsa dengan menyamar sebagai
pihak bank.
Beliau menegaskan bahawa pihak bank tidak akan sesekali meminta sebarang butiran perbankan peribadi melalui cara seperti itu.
Wong berkata penipuan sedemikian sukar dikenal pasti kerana e-mel atau
SMS yang diterima mangsa kelihatan benar dan seolah-olah ia dihantar
oleh institusi kewangan.
"E-mel yang dihantar oleh penipu itu
kelihatan amat meyakinkan kerana ia mengandungi logo rasmi sesebuah
syarikat dan pesanan yang dihantar menunjukkan alasan tertentu yang
palsu untuk meminta kita memaklumkan butiran peribadi dan akaun,"
katanya kepada Bernama.
Menghuraikan caranya, Wong berkata
komplot itu mungkin mendakwa bahawa akaun perbankan Internet atau kad
kredit perlu dikemaskini atau telah diceroboh dan dibekukan hingga
memerlukan butiran peribadi serta nombor kata laluan diberikan untuk
memperbaikinya.
"E-mel atau SMS komplot penipuan tersebut
biasanya akan mengubah haluan anda ke laman web penipu itu yang
seterusnya meminta anda memasukkan butiran yang diminta," katanya.
Untuk mengelakkan menjadi mangsa tipu, Wong menasihatkan orang ramai
supaya tidak mengakses sebarang pautan URL Internet dalam e-mel atau SMS
yang didakwa dihantar oleh bank.
Beliau berkata bagi mengenal
pasti sebarang pautan Internet itu benar atau palsu, alamat laman web
sesebuah bank itu perlu ditaip secara manual untuk mendaftar masuk ke
akaun perbangkan Internet masing-masing.
"Kita juga perlu elak
mendaftar TAC dengan menggunakan nombor telefon bimbit pihak ketiga dan
jangan melayan sebarang permintaan untuk mendapatkan maklumat peribadi
kewangan atau keselamatan masing-masing melainkan kita telah menghubungi
pihak bank terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata
ketulenan laman web bank boleh diperiksa dengan memerhati ikon berbentuk
ibu kunci yang terletak di petak alamat pelayar Internet dan jangan
meneruskan sebarang aktiviti sekiranya tidak melihat ikon sedemikian.
"Jangan mengakses maklumat perbankan anda di kafe siber atau
kawasan-kawasan wifi umum, gunakan pelayar Internet versi terkini kerana
ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan pastikan perisian
antivirus dan sekuriti anda sentiasa dikemaskini," katanya.
Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) Datuk
Seri Dr Saharuddin Awang Yahya yang mendakwa turut menerima kiriman
e-mel sedemikian, berkata kes penipuan itu dapat dielakkan sekiranya
setiap individu mengamalkan sikap berjaga-jaga dan meneliti terlebih
dahulu setiap e-mel yang diterima.
"Saya juga telah menerima
beberapa e-mel seperti itu baru-baru ini, tetapi saya telah abaikannya
kerana tahu e-mel itu palsu dan saya harap orang ramai perlu abaikan
e-mel sedemikian.
"Jangan akses sebarang pautan Internet dalam
e-mel yang didakwa dihantar oleh bank dan hubungi pihak bank untuk
mengenal pasti," katanya.
Saharuddin berkata isu penipuan itu
dilihat semakin berleluasa apabila pihaknya menerima 300 aduan
membabitkan kerugian lebih RM1 juta dengan menggunaan identiti bank
tempatan, sejak Januari hingga Jun lepas.
Menurut statistik
yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja
Malaysia (PDRM), kerugian membabit jenayah siber di negara ini pada
tahun lalu ialah RM1.6 bilion yang meningkat RM1.1 bilion berbanding
pada tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, Saharuddin meminta pihak
berkuasa memantau dan membanteras sindiket penipuan itu bagi mengelak
ia berleluasa dan lebih ramai yang menjadi mangsa. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment